UiTM KE KOTA BHARU 3D ART & HERITAGE CENTRE
KOTA BHARU, 16 Februari 2022 - KOTA BHARU 3D ART & HERITAGE CENTRE amat bertuah kerana menerima kunjungan daripada YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA pada 13 Februari 2022, bersempena lawatan kerja beliau ke UiTM Cawangan Kelantan. Kunjungan ini sudah tentu memberi peluang terbaik dalam menyantuni aspirasi YBhg. Naib Canselor dalam menjulang nama UiTM ke tahap tertinggi terhadap jaringan industri serta komuniti menerusi projek Edu-Tourism ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah YBhg. Prof Ts. Dr. Nor Hayati Saad, Penolong Naib Canselor (Strategi), YBrs. Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Ts. Dr. Ghazali Osman, Timb. Rektor Hal Ehwal Akademik, Dr. Syerina Azlin Md Nasir, Timb. Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, barisan perunding KB3D yang diketuai oleh En. Sarman Mohamad, Dr. Nurazleena Ismail, dan Dr. Adzman Omar serta pihak pengurusan UiTM Cawangan Kelantan.
Projek KB3D ini merupakan jalinan kerjasama di antara Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI) dengan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK). UiTMCK memainkan peranan sebagai pakar rujuk, mengangkat keilmuan para pendidik serta mahasiswa yang cemerlang ke satu bentuk pemindahan ilmu pengetahuan dan juga kemahiran melangkau sempadan (seni kepada komuniti) melalui projek, penghasilan karya kreatif, seni instalasi serta Lukisan Mural 3 Dimensi. Projek ini telah berjaya disempurnakan dan dibuka sepenuhnya bermula pada 26 Disember 2021 dimana UiTMCK telah diberi kepercayaan oleh pihak MPKB-BRI untuk menguruskan pengoperasiannya. Sebanyak 45 buah galeri dengan 5 konsep berbeza dibina seperti galeri manisan, galeri kotak graviti, galeri interaksi instalasi, galeri Waste-to-Art dan lukisan mural 3D.
Kota Bharu 3D Art & Heritage Centre bertempat di Tingkat 1, Bazar Tengku Anis yang merupakan kawasan strategik dikelilingi oleh pusat tarikan pelancong, seperti Nasi Ulam Cikgu, Masjid Muhammadi, KALA Sentral serta Dataran Muhammadi yang sering mempunyai pengunjung. Fasa pembinaan pertama bermula dengan keluasan keseluruhan seluas 12,000 kaki persegi dengan 45 buah galeri yang juga menempatkan kemudahan letak kereta yang luas, tangga bergerak, permandangan yang cantik, ruang menunggu, kaunter tiket, tandas pengunjung yang bersih, galeri jualan serta air minuman percuma. Ia dilihat mampu menjana pendapatan dan memberi impak serta tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pelancong yang dahagakan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi boleh menjadikan KB3D sebagai pilihan utama untuk dilawati. Jadi, jangan lepaskan peluang ini! Persembahan dan pameran yang disediakan akan memberi kepuasan, berbaloi dengan wang yang dibelanjakan. Ia dibuka kepada umum setiap hari mulai jam 10:00 pagi hingga 6:00 petang, dengan tiket promosi RM15 untuk dewasa dan RM7 bagi kanak-kanak serta pelajar sekolah. Promosi pembukaan ini akan berakhir pada 28 Februari 2022.